Latest Movie :

Kelebihan-Kelebihan Pada Bulan-Bulan Haram



Sepertimana yang kita ketahui, bulan-bulan haram terdapat kelebihan padanya. Antara kelebihan yang utama adalah disunatkan berpuasa pada bulan-bulan tersebut. Dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Abu Daud rhm, seorang sahabat datang bertemu Nabi SAW untuk memohon daripada Nabi SAW supaya memberi kebenaran kepada beliau untuk lebih banyak berpuasa.
Dalam hadith tersebut Nabi SAW telah bersabda: “Puasalah beberapa hari daripada bulan-bulan haram dan tinggallah sebahagiannya.”
Daripada hadith ini dapatlah diketahui bahawa berpuasa pada beberapa hari dalam bulan-bulan haram hukumnya adalah sunat namun tidak boleh keterlaluan sehingga berpuasa keseluruhan hari dalam bulan-bulan tersebut.
Antara kelebihan-kelebihan khusus bulan-bulan haram adalah:
1. Rejab
Bulan Rejab merupakan bulan ketujuh mengikut kalendar Hijrah. Antara catatan sejarah penting yang berlaku pada bulan ini adalah peristiwa Isra’ dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab. Dalam peristiwa tersebut telah difardhukan solat lima waktu ke atas seluruh umat Islam.
Dinukilkan daripada Nabi SAW seperti berikut: “Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Sya’ban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.” (Direkodkan oleh Imam Ahmad dan dinilai dhaif oleh al-Sayuti, al-Baihaqi, Ahmad Syakir dan al-Albani). Walaupun hadith ini merupakan hadith yang dhaif namun sebahagian ulama’ membenarkan untuk mengambil pengajaran daripada hadith dhaif selagi mana hadith tersebut bukanlah dikategorikan dalam darjat ‘dhaif syadid’ iaitu terlampau lemah antaranya disebabkan celaan ke atas ‘perawi’ (periwayat) hadith tersebut.
Berkenaan amalan dan kelebihan berpuasa pada bulan Rejab secara khusus, tidak terdapat sebarang dalil daripada al-Quran mahupun al-Sunnah. Manakala khabar-khabar berkenaan beberapa hadith yang menceritakan tentang kelebihan puasa pada bulan Rejab bukanlah hadith-hadith yang boleh dijadikan hujjah kerana para sarjana hadith telah mengklasifikasikan hadith-hadith tersebut sebagai hadith ‘maudhu’ (palsu) mahupun ‘dha’fun syadid’ iaitu terlampau lemah. Namun puasa pada bulan Rejab boleh dilaksanakan jika kita berniat untuk berpuasa pada hari-hari dalam bulan haram.
2. Zulkaedah
Bulan Zulkaedah adalah bulan haram dan pada masa yang sama merupakan antara bulan-bulan pelaksanaan ‘manasik’ (tatacara ibadah) haji. Firman Allah SWT:
“(Musim) Haji adalah bulan-bulan yang dimaklumi…” (Surah Al-Baqarah:197).
Bulan-bulan haji ini adalah bulan Syawal, Zulkaedah dan sepuluh awal Zulhijjah. Dalam Tafsir Ibnu Kathir dinyatakan bahawa dalam mazhab al-Syafi’ie, jika sesuatu ibadah haji diniatkan di luar bulan-bulan haji maka tidak sah haji tersebut. Pendapat ini juga merupakan pendapat kebanyakan para sahabat antaranya Ibnu ‘Abbas dan Jabir bin Abdillah. Al-Hafiz Ibnu Kathir juga telah menukilkan daripada Ibnu Abbas dengan kata beliau: “Daripada sunnah itu adalah tidak berihram dalam haji kecuali pada bulan-bulannya.”
Hal ini bertepatan dengan sunnah nabi SAW apabila nabi SAW memulakan ihram bagi haji Baginda SAW pada bulan Zulkaedah. Nabi SAW juga telah menunaikan umrah baginda sebanyak empat kali pada bulan Zulkaedah
3. Zulhijjah.
Kelebihan utama dalam bulan ini ialah umat Islam akan menunaikan ibadat haji di Mekkah al-Mukarramah bermula daripada hari tarwiyyah pada 8 Zulhijjah sehinggalah 13 Zulhijjah. Pada bulan ini juga disunatkan berpuasa pada hari Arafah (9 Zulhijjah), bagi mereka yang tidak menunaikan ibadat haji. Pada bulan ini juga umat Islam menyambut perayaan Aidul Adha dan melakukan ibadat korban.
4. Muharram.
Dalam bulan Muharram umat Islam disunatkan berpuasa pada hari-harinya. Sabda Nabi SAW:
“Puasa yang paling utama setelah Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah iaitu Muharram” (Hadith riwayat Imam Muslim). Selain itu disunatkan juga untuk kita berpuasa pada hari ‘Asyura iaitu pada 10 Muharram sepertimana yang telah direkodkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim dalam kitab Sahih mereka.
Konklusinya, bulan-bulan haram merupakan bulan yang terdapat padanya kemuliaan-kemuliaan tertentu. Namun setiap ibadah yang kita lakukan dalam bulan-bulan tersebut mestilah selari dengan Sunnah Nabi SAW supaya setiap ibadat kita itu diterima oleh Allah SWT dan tidak termasuk dalam amalan yang sia-sia.
Share this article :

Posting Komentar

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. HARRIS QNOZOVE - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger